KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) akan melaksanakan 45 projek pembangunan dengan peruntukan berjumlah RM228.2 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12(RMK-12).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini sebanyak 12 projek sedang dalam peringkat pembinaan manakala yang lainnya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti pertapakan, pelantikan juruperunding dan rekabentuk.
“Saya amat berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian MINTRED pada 2020 dan 2021,” katanya pada Majlis Apresiasi MINTRED 2021 di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Awang Tengah yang juga Menteri MINTRED menegaskan, pada 2020 Sarawak berjaya menduduki tempat kedua sebagai pilihan utama destinasi pelaburan antara negeri-negeri di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM16 bilion dalam sektor pengilangan.
Bagi tahun 2021, beliau berkata, Sarawak berjaya menarik pelaburan dengan nilai sebanyak RM7.1 bilion.
Menurut Awang Tengah, sepanjang 2020 hingga 2021, MINTRED bekerja keras membantu pemain industri dan usahawan semenjak penularan Covid-19 melalui pelbagai inisiatif.
Inisiatif itu termasuk menyelaras 14 Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN), memberi bantuan kewangan kepada seramai 4,278 usahawan, menyedia platform online iaitu Facebook Bazaar Rakyat Online Sarawakku Sayang (BROSS) dan melakasana program turun padang untuk menjangkau komuniti perniagaan dan industri, katanya.
Beliau berkata, melalui program PPVIN, lebih 34,000 pekerja di sektor pengilangan telah melengkapkan vaksin dos satu dan dos dua dan memberi bantuan kewangan kepada usahawan melalui program SPKIS, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Gerak, USTEV dan subsidi faedah bagi SRF, TRRF dan PTF.
Setakat 2021, katanya, seramai 10,000 usahawan telah menggunakan platform BROSS untuk menjual produk mereka dan ia berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM100 juta.
Beliau berharap warga MINTRED meneruskan budaya kerja cemerlang dengan integriti dan amanah dalam menjayakan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pascacovid 2030 sekali gus mendukung aspirasi negeri untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Sumber dari : Jiwa Bakti